Tuesday, June 10, 2008

25 Pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya...

  1. Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini
    bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam
    ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan
    karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama
    TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL
    kepada ALLAH.
  2. Hai anakku; orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya
    untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat
    penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar
    setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa
    menerima kemulian dari ALLAH juga.
  3. Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan
    rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH,
    maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat
    kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat
    kepada ALLAH.
  4. Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu
    kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya
    ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.
  5. Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana
    sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu
    hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
  6. Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang
    sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai
    ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar
    takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari
    sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.
  7. Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang
    air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang
    yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak
    melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah,
    memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih
    mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang
    tidak mahu mengerti.
  8. Hai anakku; engkau telah merasakan betapa
    beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat
    berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu,
    adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang
    jahat.
  9. Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang
    yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang
    yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak
    menjadi utusan.
  10. Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah
    dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal
    sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat
    yang berbahaya.
  11. Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan,
    takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan,
    pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan
    mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedang kan
    menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu
    kepada kesenangan duniawi sahaja.
  12. Janganlah engkau makan sampai kenyang yang
    berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu
    kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu
    diberikan kepada anjing sahaja.
  13. Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan
    sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung
    memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana
    manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu
    belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
  14. Makanlah makananmu bersama sama dengan orang
    orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan
    para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari
    mereka.
  15. Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya
    bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau
    tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah
    bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah
    banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih
    mahu menambahkannya.
  16. Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan
    sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura
    pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu
    dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah
    engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak
    demikian, maka berhati hatilah.
  17. Selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu
    serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan
    disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap
    orang lain yang pernah memberikan barang yang
    berharga.
  18. Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah
    dirimu padanyasebagai orang yang tidak mengharapkan
    sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang
    mengharapkan sesuatu darimu.
  19. Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku
    sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau
    mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat
    riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
  20. Hai anakku; janganlah engkau condong kepada
    urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia
    saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk
    dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih
    hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
  21. Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan
    mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta
    kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam
    diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu
    mendatangkan manfaat bagi orang lain.
  22. Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau
    bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah
    engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah
    engkau bertanya sesuatun yang tidak ada guna bagimu,
    janganlah mensia siakan hartamu.

  23. Barang sesiapa yang penyayang tentu akan
    disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada
    berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak
    dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan
    menyesal.
  24. Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang
    alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya
    kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan
    nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah
    dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur
    lalu disirami air hujan.
  25. Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar
    keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya
    untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia
    ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau
    akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain.
    Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta
    meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau
    makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah
    engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam
    dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

No comments: