Tuesday, June 10, 2008

Pengenalan kepada PKPIM


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan yang berdaftar secara rasmi dengan Pendaftaran Pertubuhan (Pendaftaran 1569 Selangor) pada 27 Jun 1961, dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu dan pada tahun 1963 namanya ditukar seperti yang ada sekarang.



Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia ditubuhkan pada 31 Mac 1961 bertempat di Asrama Kedua, Universiti Malaya. Penubuhan PKPIM telah diusahakan oleh sekumpulan 10 orang pelajar dari 5 buah institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Malaya, Maktab Teknik Kuala Lumpur, Maktab Pertanian Malaya, Kolej Islam Malaya dan Maktab Perguruan Bahasa bertujuam menggabungkan semua persatuan pelajar Islam tanahair dan menjalankan aktiviti-aktiviti bagi kepentingan pelajar-pelajar Islam dipersekutuan Tanah melayu.



Penubuhannya di peringkat awal bertujuan untuk menjadi wakil pelajar-pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu membuat hubungan di peringkat kebangsaan serta dengan lain-lain persatuan pelajar Islam di luar negara.Bermulanya kesedaran tentang perlunya sebuah persatuan pelajar Islam adalah ekoran daripada "Seminar Pelajar-Pelajar Islam se-Malaya" yang diadakan pada 4 September 1960 bertempat di Universiti Malaya yang buat pertama kalinya dianjurka atas nama Islam. Perwakilannya terdiri dari pelajar-pelajar dari Malaya, Indonesia, Singapura, serta para jemputan dari Brunei, Sabah, Sarawak, Filipina dan Ceylon.



Antara resolusi seminar tersebut ialah perlunya persatuan pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu mengadakan satu persatuan kebangsaan bagi menyatupadukan pelajar-pelajar Islam di Persekutuan Tanah Melayu. Seminar tersebut juga menjadi cetusan awal gagasan penubuhan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam bertaraf universiti.Jawatankuasa seminar tersebut telah diberi mandat membentuk Jawatankuasa Perancang Penubuhan PKPIM yang bertanggungjawab membincangkan pembentukkannya dan merangka perlembagaan PKPIM. Akhirnya pada 31 Mac 1961, bertempat di Asrama Kedua Universiti Malaya, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) telah berjaya ditubuhkan dengan 5 buah badan gabungan dan tanggal 27 Jun 1961 seterusnya PKPIPTM didaftarkan sebagai pertubuhan pelajar Islam yang sah.



Tidak dinafikan, sebelum lahirnya PKPIM terdapat beberapa persatuan yang cyba mewakili aspirasi pelajar, misalnya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) yang ditubuhkan pada 15 Mac 1958. Namun, kedua-dua persatuan awal tersebut tidak dapat diterima khususnya oleh pelajar-pelajar yang mewakili visi Islam yang sederhana sifatnya. Akibatnya PKPM hanya tinggal nama sahaja meskipun GPMS masih terus benafas dengan semangat nasionalisnya.



Penubuhan PKPIM diperingkat awal disambut dengan baik oleh pelbagai pihak, momentum yang kuat ini juga menjadikan PKPIM turut disokong oleh GPMS kerana Persatuan yang wujud di atas perjuangaan Melayu itu, mengharapkan agar PKPIM dapat memainkan peranannya yang penting untuk meningkatkan lagi syiar Islam dikalangan pelajar-pelajar Malaya. Sokongan itu telah diputuskan di persidangan GPMS ke-13 di Johor Bahru pada tahun 1961.



Atas dasar mewujudkan gerakan pelajar yang diwakili secara menyeluruh oleh semua pelajar Islam, beberapa pimpinan GPMS turut serta dalam dalam jawatankuasa perancang penubuhan PKPIM. Walau bagaimanapun hubungan baik ini hanya wujud diperingkat awal sahaja. Melalui pertengahan tahun 60-an kedua persatuan ini mengambil pandangan dan pendekatan yang berbeza dalam beberapa isu antaranya isu anti Tengku (1969), isu Telok Gong (1967), isu autonomi Universiti (1971), isu anti rejim Thanom Kitikachorn (1971) dan beberapa isu nasional lainnya.Kekuatan PKPIM terletak pada iltizam dan komitmen serta kesediaan ahlinya untuk menggerakkan PKPIM dengan konsep dakwah tanpa sebarang kepentingan diri.



Dasar Perjuangan sejak ditubuhkan hinggalah ke saat ini, dasar pergerakan PKPIM tetap berlandaskan kepada Al-Amr bil Ma’ruf dan an-Nahyu a’nil Munkar, selaras dengan tujuan penciptaan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi.Perjuangan PKPIM tidak terbatas pada golongan pelajar, tetapi lebih luas termasuk cuba mencari penyelesaiaan terhadap masalah Ummah dan kepentingan sejagat. Asas ini dinyatakan dengan jelas seperti yang dinyatakan dalam “symposium Pemimpin Pelajar PKPIMke-2” yang diadakan pada bulan Februari 1978 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).



PKPIM turut menyuarakan keprihatinannya terhadap masalah-masalah isu antarabangsa seperti Palestine, umat Islam minority di Patani, isu Afghanistan, isu umat Islam Filipina dan sebagainya. PKPIM pernah menerbitkan isu khas SUARA MAHASISWA dan demonstasi aman pelajar pada tahun 1971 atas lawatan Perdana Menteri Thailand Tun Thanom Kitikachorn.



Antara sumbangan terpenting PKPIM ialah gagasan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa yang pertama di negara ini yang diusahakan dalam Kongres Kemajuan Islam Semenanjung Malaysia yang dianjurkan oleh PKPIM pada tahun 1966. Seterusnnya disusuli dengan Seminar Peradaban Islam pada tahun 1967 anjuran Persatuan Pelajar Kolej Islam Malaysia (PPKIM), badan gabungan PKPIM. Salah satu kertas kerja yang dibentangkan ialah “Konsep Universiti Islam” yang dibentang oleh al-Marhum Prof. Dr. Ungku Omar.



Usaha PKPIM yang seterusnya ialah menjadi penaja Kongress Universiti Islam pada bulan Ogos 1971. Hanya pada tahun 1981 pihak kerajaan dengan usaha pelbagai pihak termasuk Y.B Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di bawah pimpinan Y.B Datuk Seri Mahathir Mohammad, Perdana Menteri Malaysia, penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang pertama di Malaysia dan di rantau ini telah direalisasikan.Cita-cita PKPIM untuk melahirkan golongan pelajar yang memahami Islam sebagai cara hidup yang syumul dengan pendekatan berhikmah merangkumi di peringkat pelajar dan selepas zaman pelajar.



Justeru itu bagi memastikan wujudnya kesinambungan perjuangan dan keperluan kepad satu pergerakan yang stabil dan bersigfat jangka panjang, maka Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah ditubuhkan pada tahun 1971 dalam Muktamar PKPIM ke-10.PKPIM juga menjalinkan jaringan utuh sebagai salah satu badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang aktif dalam aktiviti pembangunan belia. Malah beberapa tokoh pimpinan PKPIM pernah menjawat jawatan Presiden MBM. Jaringan PKPIM diperluaskan di peringkat antarabangsa di mana turut menjadi badan gabungan aktif dalam Himpunan Belia Islam Sedunia (World Assembly of Muslim Youth-WAMY) dan menjadi anggota gabungan kepada Persekutuan Pelajar-Pelajar Islam Antarabangsa (International Islamic Federation of Student Organisation-IIFSO) sejak 1971, dan juga penaja kepada penubuhan Persekutuan Persatuan Mahasiswa Islam Asia Tenggara (PEPIAT).



PKPIM hingga kini terus bergerak aktif dengan rangkaian yang cukup meluas dengan wujudnya badan gabungan PKPIM hampir setiap negeri dan kampus. PKPIM akan terus berbakti sesuai dengan motonya “HIDUP BIAR BERJASA”.

No comments: